Debat

<< First
Last >>

2008-07-16-debatKartun for July 16, 2008 – Debat.
A tribute to Chedet and AI. Perhaps another DEBAT just for them!

15 Julai, 2008 23:50 PM

Kekecohan Antara Petugas Media Dan Pengawal Keselamatan Selepas Debat

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Walaupun debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan lancar namun kekecohan berlaku membabitkan petugas media dan anggota keselamatan yang bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Beberapa jurugambar akhbar dan media elektronik dilaporkan dihalang serta ada yang disepak dan dipukul anggota keselamatan terbabit.

Kekecohan bermula kira-kira lima minit selepas debat khas antara Ahmad Shabery dan Anwar selesai.

Petugas akhbar dan media dilaporkan dihalang keluar dari bilik yang dikhaskan kepada mereka oleh lima anggota keselamatan yang bertugas atas alasan mereka tidak mematuhi arahan yang diberikan.

Pertikaman lidah berlaku antara anggota keselamatan dan petugas media sehingga keadaan menjadi tegang dan menyebabkan petugas media menolak untuk membolehkan mereka keluar dari bilik berkenaan.

Keadaan bertambah kecoh apabila tiga petugas media iaitu jurugambar The Sun, Zulkifli Ersal, jurukamera The Edge, Khairul Hasnor Mohd Khalili dan jurukamera Channel News Asia Hanafiah Hamzah dipukul dan diterajang.

Kekecohan itu berpanjangan sehingga ke lobi DBP tetapi mujur polis yang berada di situ dapat mengawal keadaan dan mententeramkan orang ramai. Polis telah meminta ketiga-tiga petugas media terbabit agar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Jurukamera The Edge, Khairul Hasnor yang cedera dihidung dan dua petugas media terbabit yang tidak cedera telah membuat laporan polis.

Di luar dewan kira-kira 50 penyokong parti pembangkang mengambil kesempatan untuk berhimpun sambil membawa poster memprotes kenaikan harga minyak sambil melaungkan ‘reformasi’.

– BERNAMA

==========================================================================

Kecoh sebab media tidak sabar

Muda Mohd Noor | Jul 16, 08 3:31pm

Penganjur debat bersejarah malam tadi kecewa dengan insiden pergaduhan antara beberapa petugas media dengan pengawal keselamatan sejurus selepas tamat program yang menemukan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Agendadaily.com menyatakan, insiden tersebut tidak akan berlaku jika petugas media memberi kerjasama penuh kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" selama sejam disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui TV9, BernamaTV dan Astro Awani.

"Pengawal keselamatan hanya meminta petugas media supaya bersabar untuk memberi laluan kepada Ahmad Shabery dan Anwar meninggalkan tempat itu terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, petugas media tidak menghiraukan arahan tersebut, sebaliknya terus berasak-asak untuk meninggalkan tempat media tersebut," kata ketua pengarang laman berita itu Rosli Ismail kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas insiden pergaduhan antara jurugambar dengan pengawal keselamatan sebaik sahaja majlis debat tersebut berakhir.

Kekecohan berlaku apabila kumpulan petugas media tersebut dikunci dalam sebuah bilik, menyebabkan mereka marah kerana tidak dapat keluar.

Difahamkan bilik tersebut dikunci oleh petugas keselamatan untuk memberi laluan kepada tetamu VIP meninggalkan dewan itu lebih awal.

Berikutan itu, empat jurugambar iaitu Khairul Hasnor Mohamad Khalili dari The Edge, Zulkifli Ersal (The Sun), Halim Berber (SIPA Press, dari Perancis) dan Hanafiah Hamzah (Channel News Asia) membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Rosli berkata, pengawal keselamatan yang didakwa mengasari petugas-petugas media berkenaan diupah oleh Agendadaily.com dari sebuah syarikat pengurusan acara bagi membantu melicinkan pentadbiran dan keselamatan acara perdebatan tersebut.

Katanya, penganjur mendapatkan khidmat kira-kira 10 orang pengawal keselamatan dari syarikat berkenaan.

"Kami sedaya-upaya memberi kerjasama kepada media yang membuat liputan tersebut yang berjumlah lebih 100 orang.

"Sebab itu kami tidak mengambil tindakan walaupun ada jurugambar yang mengambil gambar semasa siaran langsung dibuat walaupun kami mengingatkan mereka jangan berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, Rosli berkata pihaknya akan terus mengadakan majlis debat seperti itu pada masa depan.

Tetapi, katanya beliau berharap tidak timbul lagi insiden yang tidak diingini seumpama itu.

Google Buzz
<< First
Last >>