HARON ABDULMAJID
Walaupun tidak pernah bersua muka.. hanya berbual secara cyber..saya berasa seolah-olah sudah lama bersahabat dgn Bro Ronn.
Mengenalinya berdasarkan karya-karya berupa lirik lagu yang menjadi siulan semasa saya membesar seperti Siapa Dia Sebelum Daku (Roy & Fran).. Khayalan (BlackDogBone) dan banyak lagi
Amat sedih membaca berita ini, saya dan keluarga mendoakan agar Bro Ronn terus tabah dan sembuh agar dapat terus berkarya.
Haron Abdulmajid koma lepas dibedah
By Kamali Hudi
PENYAJAK dan penulis lirik mapan, Encik Haron Abdulmajid, dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan lebih empat jam bagi mengeluarkan tumor di kepalanya semalam.
Menurut rakan rapatnya, Haji Nashir Haji Yusop, otak Encik Haron mula membengkak selepas pembedahan itu.
Sehingga akhbar ini dicetak malam tadi, Encik Haron, yang ditempatkan di unit jagaan rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH), masih tidak sedarkan diri.
Menurut doktor yang menjalankan pembedahan itu, jika Encik Haron, 58 tahun, tidak menunjukkan sebarang tindak balas dalam masa terdekat keadaan dirinya mungkin bertambah rumit.
Pembedahan yang dijalankan pada 12.15 tengah hari itu bertujuan mengeluarkan tumor yang telah membesar sehingga 38.19 milimeter, iaitu sebesar telur ayam, dari bahagian kiri kepala Encik Haron.
Imbasan yang dilakukan ke atas Encik Haron sebelum ini menunjukkan ada sekurang-kurangnya tujuh ketumbuhan di kepala beliau.
Haji Nashir, penerbit eksekutif di syarikat rakaman Aliff Productions & Musicwork, berkata:
‘Pembedahan hari ini (semalam) adalah untuk mengeluarkan tumor besar, dan satu lagi pembedahan akan dilakukan dalam masa terdekat untuk membuang tumbuhan lain yang lebih kecil.
‘Air matanya berlinangan walaupun beliau dalam keadaannya separuh sedar setelah menerima suntikan bius.’
Ramai rakan Encik Haron menziarahi beliau sejak berita mengenai keadaannya disiarkan Berita Harian Rabu lalu.
Antara mereka ialah penyanyi utama kumpulan Black Dog Bone, Jatt Ali, dan sasterawan Djamal Tukimin.
Encik Haron dikenali sebagai orang yang menghasilkan lirik bagi lagu-lagu popular dendangan, antara lain, Black Dog Bone, kumpulan nasyid Hidayah dan penyanyi Jatt, Rina Rahman serta Sharifah Aini.
Menurut Haji Nashir, kos pembedahan Encik Haron dianggarkan mencecah hampir $50,000.
‘Saya akan berbincang dengan rakan-rakan dan ahli keluarganya dalam usaha kami untuk menampung kos itu,’ kata beliau.
HARON ABDULMAJID TENAT DI HOSPITALDoktor sahkan penyajak dan penulis seni kata lagu mapan hidap barah otak dan barah usus
Oleh
Kamali HudiPENYAJAK dan penulis seni kata lagu mapan tanah air, Encik Haron Abdulmajid, dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) malam kelmarin kerana mengalami pendarahan otak.
Doktor mengesahkan Encik Haron, 58 tahun, yang kini berada dalam keadaan kritikal sebagai menghidapi barah otak dan barah usus.
Keadaan penulis lirik itu hanya diketahui setelah beberapa rakannya daripada syarikat Studio Rakaman Aliff Productions & Musicwork mengunjungi beliau di rumahnya di Marsiling Crescent, malam itu.
Mereka membuat kunjungan tersebut selepas tidak menerima jawapan balas setelah berulang kali cuba menghubunginya, baik menerusi telefon mahupun lewat pesanan ringkas (SMS).
Menurut Haji Nashir Haji Yusop dan Haji Mustaffa Yaakub – keduaduanya rakan yang mengunjunginya malam itu – ‘keadaan Haron amat membimbangkan’.
Menurut Haji Nashir, rakannya itu tidak boleh bangkit daripada baringan di atas katilnya dan perlu dibantu.
‘Malah, kedua-dua belah kakinya agak lemah untuk bergerak.
‘Lebih sedih lagi, Haron sudah mula lupa-lupa nama kawan dan sedikit terjejas daya ingatannya,’ ujarnya hiba.
Encik Haron, yang telah berumah tangga, banyak menghasilkan lirik bagi lagu-lagu popular dendangan antaranya kumpulan Black Dog Bone, kumpulan nasyid Al-Mizan, Jatt, Rina Rahman dan Sharifah Aini.
Antara lirik lagunya yang popular termasuklah Geram, Khayalan, Tangan Ku Hulur Maaf Ku Pohon dan Merpati Putih.
Pada Mei lalu, beliau telah menerima anugerah Lagu Pop Melayu Tempatan Terbaik daripada Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) bagi lirik tulisannya Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Menurut Compass, lagu yang sehingga kini diminati ramai sempena menyambut Syawal itu telah menerima royalti tertinggi bagi sebuah gubahan lagu Melayu tempatan.
Haji Mustaffa Yaakub berharap masyarakat mendoakan rakannya itu.
‘Saya mohon agar kita mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalankan kegiatannya seperti sediakala,’ ujarnya sambil menahan sebak.
Jarum Emas: Penulis lirik lagu Balik Kampung tenat
Oleh Adam SallehNama Sudirman dan S Atan memang sinonim dengan kita, terutama peminat hiburan, tetapi tidak buat penulis lirik lagu itu, Haron Abdulmajid, 58.
Sekitar 1970-an dan 1980-an, nama Haron gah di persada seni dalam menghasilkan lirik untuk Sudirman, Datuk Sharifah Aini dan Black Dog Bone.
Saya tertarik dengan lirik nukilan Haron, terutama lagu Joget Kenangan Manis bila dicatatkan “kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu.”
Pernah saya bertanya Haron bagaimana dia boleh tahu Kuala Kubu walhal dia orang Singapura, jawab Haron selamba, itulah tanda orang kreatif.
Setiap kali ke Singapura, saya tidak lupa telefon Haron. Sekitar 2002 dia menjadi ‘orang tengah’ mengatur sesi interbiu saya dengan Ratu Cantik Singapura/Universe, Nuraliza Osman.
Lama tidak dengar berita Haron, Rabu lalu saya dikejutkan dengan panggilan seorang lelaki dari Singapura yang memberitahu, Haron tenat di hospital.
Antara percaya dan tidak, selang sehari seorang lagi penulis lirik juga kenalan lama saya dari Singapura, Eunosasah memberitahu Haron sakit kuat.
Bagi yang tidak mengenali Eunosasah, beliau adalah penulis lirik lagu Kepadamu Kekasih nyanyian M Nasir. Tidak seperti Haron sepanjang masa di Singapura, Eunosasah kini bermastautin di Johor Bahru.
Haron yang sentiasa ceria bila berbual menghidap penyakit barah usus dan ketumbuhan otak yang dikatakan bersaiz sebesar telur ayam 38.9 mm. Sudah seminggu dia terlantar di hospital.
Saya cuma diberitahu Haron jalani pembedahan Jumaat lalu, jam 9 pagi dengan kos berjumlah RM50,000. Apa perkembangan Haron selepas dibedah, tidak pula diketahui kerana beberapa kali telefon Eunosasah taliannya tidak berjawab, cuma pesannya pada rakan taulan di KL supaya doakan Haron sembuh.
ADAM: Sentiasa kenang jasa orang lama.









