Otak kartun
Otak kartun
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
Tip jadi pelukis komik berjayaTIDAK keterlaluan jika dikatakan hampir semua daripada kita membesar dengan komik. Tidak kiralah, jenis atau genre komik yang diminati. Malah masih ramai juga yang setia melanggan komik walaupun sudah dewasa dan berkeluarga. Sudah pasti, komik yang dikumpul sejak zaman remaja menjadi koleksi berharga yang cukup dibanggakan.
Penggemar dan pengumpul koleksi komik ada di mana-mana saja. Di luar negara seperti di Jepun, pembacaan dan pengumpulan komik ibarat budaya yang menjadi ikutan ramai.
Kecenderungan sama turut melanda rakyat Malaysia. Bagaimanapun, rata-rata penggemar komik tempatan membaca dan menjadikan komik luar negara sebagai koleksi mereka kerana tidak banyak karya komik tempatan menarik minat.
“Sektor komik di Malaysia boleh disifatkan agak ketinggalan berbanding negara maju. Ini kerana setakat ini, tidak banyak usaha serius dilakukan untuk memajukan sektor ini.
“Di luar negara, komik bukan sekadar bacaan ringan tapi mencetus fenomena hingga banyak produk dihasilkan berdasarkan karakter komik.
“Namun, sektor komik di Malaysia belum mampu mencapai tahap itu malah masih ada pihak memandang negatif dengan bahan bacaan ini,” kata penggiat komik yang juga Pengerusi Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK), Muhamad Azhar Abdullah.
Kata Muhamad Azhar, kurangnya bakat atau tenaga bukanlah punca kemunduran sektor komik ini di Malaysia, sebaliknya faktor kurangnya pulangan kepada penggiat menjadi penyebab ramai pelukis tidak mahu bergiat secara aktif.
Beliau berkata, ditambah pula faktor kurangnya penerbit yang komited memasarkan karya komik tempatan menyebabkan sektor komik terus suram.
Sehubungan itu, Muhamad Azhar dan penggiat komik yang lain bergabung tenaga menubuhkan PeKOMIK, dua tahun lalu. Persatuan ini ditubuhkan sebagai usaha menyuburkan kegiatan pengeluaran komik tempatan dan memajukannya sektor ini.
Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan persatuan ini ialah Anugerah Pekomik bagi mengiktiraf hasil kerja penggiat komik tempatan.
“Ia diharap dapat menjadi titik tolak menaikkan taraf industri ini serta menggalakkan lebih banyak penghasilan karya komik penggiat tempatan. Ia juga diharap dapat menarik minat penggemar komik supaya memberi sokongan kepada komik tempatan,” kata Muhamad Azhar.
Aspirasi Muhamad Azhar dikongsi lebih lanjut bersama XY-Ikon Lelaki…
Mengapa anda tidak meneruskan kerjaya dalam bidang jurubina sebaliknya memberi tumpuan kepada lukisan komik dan penerbitan animasi?
Pada asalnya, minat saya memang dalam bidang lukisan komik, sejak zaman prasekolah lagi. Tapi memandangkan harapan ibu bapa untuk melihat anak mereka tamat pengajian dengan kursus profesional, saya penuhi impian mereka terlebih dulu.
Selepas tamat belajar, saya bekerja sebagai pembantu arkitek dan kira-kira setahun lalu, saya letak jawatan dan menyambung semula pengajian dalam bidang seni dan rekaan. Sejak itu, saya terus saja fokus kepada bidang ini hingga sekarang.
Apa yang membuatkan anda yakin kepada bidang penghasilan komik hingga sanggup meninggalkan bidang seni bina?
Paling utama, minat saya memang dalam bidang ini. Selain itu, saya percaya bahawa di Malaysia, bilangan penggemar komik memang ramai. Tidak kira peringkat umur dan juga latar belakang.
Merujuk kajian yang pernah dikendalikan dua tahun lalu, ada kira-kira sejuta pembaca komik di Malaysia. Sebahagian besar dari kalangan pelajar sekolah dan penuntut kolej. Namun, kebanyakan mereka memilih karya komik dari luar kerana tidak banyak produk komik tempatan yang boleh dijadikan koleksi. Kalau ada pun, kebanyakannya dalam bentuk majalah humor. Itu juga antara faktor yang membuatkan saya rasa terpanggil untuk serius dalam bidang ini.
Boleh anda terangkan secara ringkas apa sebenarnya komik dan jenis-jenisnya?
Komik sebenarnya adalah seni berturutan (sequential art) atau sebuah penceritaan menggunakan medium lukisan. Ada komik berunsur humor, jalanan (street), misteri, keperwiraan, fiksyen sains (sci-fi) dan banyak lagi.
Bagi menghidupkan penceritaan, lukisan komik biasanya ditambah dengan unsur exaggerate, contohnya dengan melukis watak hero yang berotot perkasa dengan raut wajah tampan.
Mengapa orang tempatan lebih suka membaca komik luar? Apakah kelebihan komik luar?
Pertama sekali, karya komik luar negara membanjiri pasaran tempatan dan amat sukar untuk mencari buku komik tempatan yang boleh diikuti penggemar. Antara kelebihan yang ada pada komik luar adalah kekuatan watak yang ditampilkan dalam komik mereka.
Contohnya, komik dari Jepun seperti Dragon Balls dan Doraemon. Karakter dalam komik ini mempunyai karisma tersendiri hingga orang ramai minat dan ingin mengikuti ceritanya. Kebanyakan komik tempatan tidak memiliki ciri seperti ini. Jika ada pun, belum cukup signifikan untuk bersaing dengan komik luar.
Mengapa kita tidak dapat mencapai tahap seperti industri komik keluaran negara luar yang lebih maju?
Untuk menerbitkan sebuah komik, kosnya agak tinggi termasuk promosi dan pemasaran. Kemudian, untuk memastikan sesebuah komik mempunyai pengikutnya sendiri, ia mengambil masa setahun hingga dua tahun.
Tidak banyak penerbit sanggup melabur untuk projek sebegini dan mereka merasa lebih senang jika mereka mengedar saja komik luar. Ini kerana kebanyakan komik luar tidak perlu dibayar hak cipta dan kos penerbitan lain. Apa yang perlu ditanggung cuma kos percetakan saja.
Apabila industri tidak berkembang, pengkarya juga tidak dapat mencari makan dengan karya mereka maka tiadalah produk komik tempatan yang dapat bersaing dengan komik luar.
Maksudnya, seseorang tidak dapat mencari makan dengan hanya menjadi pelukis komik saja?
Senarionya lebih kurang begitulah. Berbeza dengan pengkarya komik di luar negara, setiap komik ada beberapa artis yang bertanggungjawab dalam proses tertentu dan mereka semuanya menerima pendapatan masing-masing.
Penerbit juga sanggup melabur besar untuk memasarkan komik. Di Malaysia, ramai pengkarya komik masih bersemangat berkarya namun pergerakan itu bersifat pasif. Lalu kebanyakan daripada mereka melakukan kerja ini secara sambilan.
Seperti saya sendiri, untuk menghasilkan komik setebal 120 muka surat, masa yang diambil adalah kira-kira setahun dan semua proses penghasilan dibuat berseorangan.
Apakah kemahiran yang perlu ada untuk menjadi pelukis komik?
Pelukis komik bukan saja perlu tahu melukis, tapi perlu tahu bagaimana hendak menyampaikan cerita melalui lukisan berpanel. Penghasilan komik ini boleh dikatakan agak sama seperti penghasilan filem. Pelukis bertindak sebagai pengarahnya dan mereka harus tentukan jalan cerita, sudut lukisan dan skripnya.
Bagaimana proses anda menghasilkan komik?
Biasanya, bila datang idea, saya akan lakarkan secara kasar terlebih dulu watak, karektor dan keterangannya. Selepas itu baru saya akan taip skripnya dan teruskan dengan proses selanjutnya.
Apakah tujuan penubuhan Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK)?
Penubuhannya datang dari hasrat sebuah komuniti pencinta dunia komik yang mahu memberi faedah, bukan saja kepada golongan pengkarya dan penggiat komik tapi juga khalayak peminat komik tanah air.
Apa yang diperjuangkan dan apakah usaha yang dijayakan PeKOMIK?
Tujuan utama PeKOMIK adalah untuk mengembang dan memartabatkan dunia komik Malaysia. Antara usaha yang kami laksanakan ialah menganjurkan acara seperti rti konvensyen. Program ini diisi dengan pameran, forum dan pembabitan penggiat dan peminat komik tempatan.
Dari situ, kita akan cuba wujudkan komuniti serta menjana penghasilan karya supaya matlamat memartabatkan industri ini dapat dicapai.
Cabaran yang terpaksa dihadapi penggiat komik tempatan dan harapan anda untuk industri komik tempatan?
Satu daripadanya adalah kebanjiran komik luar. Jika boleh, pihak terbabit perlu mengambil inisiatif mengawal kemasukan komik luar atau menaikkan harga komik luar jika hendak dipasarkan di Malaysia.
Selain itu, faktor kekurangan penerbit yang dapat menyokong pengeluaran komik tempatan juga memperlahankan perkembangan sektor ini. Kita berharap lebih ramai penerbit tempatan beri sokongan dengan menerbitkan karya komik tempatan. Ini penting supaya penggemar dapat melihat sendiri kreativiti karya tempatan lalu mula melanggannya.
Profil
Nama: Muhamad Azhar Abdullah
Usia: 32 tahun
Asal: Shah Alam, Selangor
Tarikh lahir: 11 Disember 1977












Nuoh
Askum abg Azhar.. saya ni noob sikit bab2 nih. sory la nak tnya skit
sy ni minat sangat2 melukis komik sejak belum tadika smpai skarang. tapinya macam mana sy nak jd kartunis yeak? kat mana salurannya, kat mana patut sy hntar karya sy. kalu boleh saya nk jadikan pekerjaan melukis komik ni pekerjaan seumur hidup, biarlah org kata susah kaya. harap abg boleh bantu. sekian.
harap reply..
Link | Posted by: Nuoh | January 20th, 2009 at 10:12 pm